Addicted to Salted Anchovy Sauce

in rememberance of my hometown

Kehebatan budu Kelantan

May4

Sos ikan bilis yang diperam hingga hancur telah lama menjadi kegemaran masyarakat Pantai Timur. Kini makanan tradisional itu mendapat kebanggaan baru – dipeketkan dan dijadikan produk kecantikan.

BUDU sangat sinonim dengan masyarakat Kelantan. Dikatakan, hampir setiap keluarga di negeri itu mempunyai sekurang-kurangnya sebotol budu di dapur mereka.

“Walaupun keluarga saya berketurunan Cina, namun kami selalu makan budu bersama ikan bakar dan ulam-ulaman,” akui Tan Chia Ying, 22.

Beliau yang tinggal di Kampung Panji, Kota Bharu, tidak malu mengaku makan budu sejak kecil. Keluarganya sering menyediakan budu yang diperah limau nipis dan dicampur cili api dan bawang.

“Bukan sesuatu yang ganjil sekiranya melihat masyarakat Cina di Kelantan makan budu. Malah ramai kenalan saya yang berketurunan Cina meminati budu,” katanya yang berkulit putih gebu.

Kartilawati Subari, 40, pula berkata, beliau sentiasa menyimpan bekalan budu di rumahnya untuk dihidangkan kepada keluarga.

Terang beliau, walaupun budu merupakan makanan tradisional namun ia mempunyai banyak khasiat tetapi kurang didedahkan.

“Budu dikatakan menyumbang kepada kecantikan dan awet muda,” ujarnya sambil tersenyum.

Bagi seorang usahawan, Mat Ismail, 57, permintaan budu yang tidak pernah putus itu adalah satu idea perniagaan yang hebat.

Pada tahun 1978, Mat mula membuat budu secara kecil-kecilan di belakang rumahnya di Kampung Geting, Tumpat dengan bermodalkan RM1,500. Beliau menubuhkan syarikat Perusahaan Warisan Ketereh dan menggunakan biji ketereh sebagai tanda niaganya.

Selepas 30 tahun, ternyata budu telah memberi banyak kebanggaan kepada beliau.

Ia bukan semata-mata kerana beliau kini tinggal di rumah banglo dan memandu kereta Mercedes Benz.

Sebaliknya, Budu Ketereh beliau menjadi budu pertama negara ini yang diiktiraf sebagai harta intelek. Kejayaan itu dicapai pada tahun 2007.

Berikutan pengiktirafan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (PHIM) itu, Budu Ketereh kini dilindungi mengikut Akta Perlabelan.

Budu Ketereh juga digunakan oleh Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) untuk menghasilkan produk kosmetik.

Empat daripada lapan anaknya hasil perkahwinan dengan Kamariah Hussein, 45, turut melibatkan diri dalam perniagaan itu.

Menurut Mat, proses membuat budu adalah ringkas iaitu hanya mengunakan ikan bilis, garam dan gula.

Katanya, kerja memproses budu dimulakan dari bulan Jun hingga November kerana ia merupakan musim ikan bilis.

“Dalam tempoh tersebut, kerja-kerja pembersihan dan pengasingan ikan bilis dilakukan oleh pekerja di bahagian pelantar kilang yang dibina di tebing sungai sebelum diangkut ke darat.

“Ikan bilis itu digaul dengan garam dan diperam selama enam bulan di dalam tong gentian kaca atau dalam kolah yang diperbuat daripada simen,” katanya yang kini memiliki 20 buah tong gentian kaca berukuran 1.2 meter tinggi dan 2 meter lebar.

Khabarnya, Mat merancang untuk membeli 200 buah tong lagi.

Penggunaan tong gentian kaca disarankan oleh Sirim bagi meningkatkan kebersihan produk berbanding kolah simen.

Bulan Disember hingga Mei pula adalah masa untuk memasak, menapis dan membotolkan makanan itu.

Selepas budu dimasak, ia ditapis dan disejukkan selama beberapa jam sebelum dibotolkan menggunakan tenaga mesin dan manusia.

Secara purata, kilang Budu Ketereh mampu mengeluarkan 12,000 botol budu sehari untuk memenuhi pasaran di seluruh Malaysia.

Bekalan bilis makin kurang

Bagaimanapun, Mat mengakui kekurangan ikan bilis menyebabkan pengeluaran budunya agak terhad.

Secara purata beliau memerlukan bekalan ikan bilis sebanyak tiga hingga empat tan sebulan, namun bekalan yang diperoleh sejak kebelakangan ini sekitar satu tan sahaja.

“Saya terpaksa membeli ikan bilis dari Sabah untuk memenuhi permintaan.

“Ikan bilis di perairan negara kita semakin berkurangan dan pada masa yang sama banyak kawasan pulau telah diwartakan sebagai Taman Laut Negara,” katanya yang menambah budu yang baik bergantung pada kualiti ikan bilis yang dibekalkan.

Pada awal tahun ini, Mat membeli sebuah mesin pembungkusan baru berharga RM45,000 untuk memasarkan budu dalam bentuk peket.

Budu yang diusahakan oleh Mat Ismail merupakan budu yang pertama di negara ini yang dimodenkan penampilannya hasil bantuan Sirim dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC).

Menurut Mat, idea untuk memasarkan budu di dalam peket muncul selepas beliau mendapati kebanyakan produk seperti kopi segera kelihatan lebih moden dan ringkas apabila dipeketkan.

“Selain itu, budu yang disimpan di dalam botol agak sukar dipasarkan ke negara luar kerana ia tidak boleh dibawa dengan kapal terbang.

“Dengan pembungkusan menggunakan teknik lebih canggih, saya berharap Budu Ketereh mampu menembusi pasaran antarabangsa sedikit masa lagi,” katanya.

Mat berkata, mesin pembungkusan baru itu mengeluarkan budu dalam dua peket berbeza iaitu kandungan 20 mililiter dan 80 mililiter. “Dalam sehari mesin itu boleh mengeluarkan lebih 1,000 peket budu,” katanya.

Budu cerahkan kulit dan antipenuaan

RAUT wajah Penyelidik Kanan Alam Sekitar dan Bioproses, Pusat Teknologi Sirim, Hamidah Sidek kelihatan seperti gadis 20-an walaupun umur sebenarnya adalah 40 tahun.

Apabila ditanya rahsia awet mudanya, graduan dalam bidang pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, beliau pada mulanya menggunakan produk kecantikan terkenal.

“Namun kini saya beralih kepada makan budu setiap kali makan tengah hari dan makan malam,” katanya.

Menurut Hamidah, dalam kajian yang dilakukannya selama dua tahun bersama 10 penyelidik Sirim yang lain, makanan tradisional itu mampu mengekalkan wajah muda seseorang.

“Proses penapaian budu menguraikan bahan organik kepada peptida dan asid amino yang menyumbang kepada rasa dan aroma lazat serta mempunyai nilai kosmetik.

“Ia berkesan sebagai agen mencerahkan kulit dan antipenuaan. Semua ini berlaku kerana ekstrak marin daripada budu berupaya melawan radikal bebas, merangsang pertambahan sel kulit dan menggalakkan penghasilan kolagen.

“Ia juga mampu melindungi kulit daripada sinaran matahari,” terang beliau yang telah melakukan kajian makmal dan ujian ke atas 25 individu.

Sebahagian besar individu yang diuji mendapati wajah mereka semakin cerah, bintik jerawat berkurangan dan menyelesaikan masalah kulit berminyak.

Produk kosmetik budu Sirim terbahagi kepada tiga iaitu pembersih dan penyegar, krim kulit dan serum kecantikan kulit. Ia menggunakan jenama BK iaitu Budu Kelantan atau Budu Ketereh.

“Walaupun hanya satu peratus ekstrak budu digunakan sebagai bahan asas kosmetik tetapi ia berkesan kerana komponen itu sudah cukup untuk memberi khasiat kepada pemakainya.

“Malah kami kini mengkaji potensi tempe sebagai produk kosmetik,” katanya.

Hamidah berharap produk BK akan mendapat sambutan daripada pengguna kelak sebaik sahaja Sirim bertemu syarikat yang berminat untuk mengedarkannya. – MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Buat masa ini, Mat mempunyai sebuah kilang budu di atas tanah seluas 0.8 hektar dengan dibantu 40 orang pekerja.

posted under Food | 1 Comment »

Rasulullah tidak berguru dengan rahib Nasrani

May3

SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI

SELAMA puluhan tahun, Pendita atau Rahib Nasrani, Buhaira atau Bahirah, malah beliau juga dikenali dengan panggilan Jarjis beribadat di sebuah biara atau gereja di Busra tanpa pernah keluar dari biaranya itu.

Buhaira dikatakan mempunyai pengetahuan yang amat mendalam mengenai ajaran dan agama Kristian. Ini menyebabkan beliau begitu dihormati khususnya oleh penganut Kristian yang lain. Beliau cukup terkenal sehinggakan banyak kafilah-kafilah dagangan yang menuju ke Syam akan berhenti di Busra semata-mata untuk bertemu dengan Buhaira untuk mendapatkan berkat dan doa daripadanya.

Tanpa berbuat demikian mereka dikatakan tidak akan pulang dengan membawa untung dan satu perjalanan yang selamat. Namun ketika rombongan Abu Talib singgah di Busra seperti yang diceritakan pada keluaran lalu, Buhaira sendiri keluar kepada mereka dan menyambut rombongan tersebut sebagai tetamu yang dimuliakan.

Seperti yang disebutkan tadi, pada hal selama ini, Buhaira tidak pernah keluar dari biaranya itu untuk menyambut sesiapa.

Ini semata-mata kerana dikatakan beliau dapat menghidu sesuatu dari rombongan Abu Talib itu. Atas pengetahuan yang cukup mendalam terhadap isi kandungan kitab Injil, Buhaira dapat mengenalpasti seorang budak lelaki yang dibawa oleh Abu Talib begitu menepati ciri-ciri kemunculan seorang Nabi bagi menyambung ajaran Nabi Isa. Lalu beliau bertanya kepada Abu Talib, mengenai siapakah anak lelaki yang menyertai rombongan dagangan dari Mekah itu.

“Siapa anak ini, siapakah keluarga anak ini?” Tanya Buhaira sambil memegang tangan Nabi Muhammad. Lalu Abu Talib menjawab: “Dia adalah anak saudara saya Muhammad, anak kepada abang saya, Abdullah yang telah meninggal dunia ketika anak ini masih dalam kandungan ibunya!,” katanya.

Sejurus mendengar jawapan Abu Talib itu, lantas Buhaira mengangkat tangan Nabi dan berkata: “Inilah ketua seluruh alam, budak ini diutuskan oleh Allah sebagai rahmat untuk sekelian alam. Dialah nabi yang dijanjikan; kerasulannya yang universal serta penaklukan dan pemerintahannya telah diramalkan dalam Kitab-kitab Suci!”.

Kata-kata Buhaira itu amat mengejutkan yang lain dan Abu Talib bertanya: “Bagaimana kamu tahu perkara ini wahai Buhaira, sedangkan engkau baru sahaja mengenali Muhammad yang baru sahaja tiba dari Mekah ini?”

Buhaira menjawab: “Ketika kamu bertolak dari Aqabah, tidak ada sebutir batu atau sepohon pokok melainkan semuanya tunduk sujud dan tidaklah mereka sujud melainkan kepada seorang nabi!”

“Dialah Nabi yang namanya dan nama bapa serta keluarganya telah saya baca dalam kitab-kitab sebelum ini dan saya tahu dari mana dia akan muncul dan bagaimana agamanya akan tersebar di seluruh dunia,” katanya.

Buhaira dapat mengenali kanak-kanak yang bersama Abu Talib itu sebagai bakal nabi kerana terdapat cap kenabian di bawah tulang belikat yang berbentuk seperti buah epal.

Abu Talib sendiri terus memeriksa dan ternyata benar seperti yang didakwa oleh Buhaira. Ini menyebabkan semua termasuk seluruh ahli rombongan dagangan itu terkejut dengan apa yang mereka dengar dan saksikan.

Tentu sekali mereka tidak menyangka bahawa kanak-kanak atau lebih tepat lagi si yatim piatu ini merupakan yang bakal menjadi pemimpin besar mereka di suatu hari kelak.

“Namun kamu Abu Talib mesti menyembunyikan perkara itu dan anak saudara ini dari mata kaum Yahudi. Bawalah dia pulang, tidak perlulah kau meneruskan perjalanan ke Syam.

“Demi keselamatan budak ini andai jika kamu terserempak dengan kaum Yahudi kerana mereka juga mengetahui mengenai tanda-tanda kemunculan seorang nabi baru,” kata Buhaira.

Abu Talib yang juga sependapat dengan Buhaira terus mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan ke Syam.

Namun sesetengah riwayat menyebut beliau tetap ke Syam dengan menghantar pulang Nabi Muhammad bersama sebahagian pembantunya ke Mekah.

Peristiwa pertemuan dengan Buhaira ini telah diceritakan oleh ramai penulis sejarah termasuk oleh pihak orientalis.

Namun pihak orientalis kemudiannya didapati cuba memanipulasikan peristiwa ini dengan mengatakan bahawa Nabi Muhammad dikatakan tidak sahaja bertemu, malah dikatakan duduk belajar dengan Buhaira mengenai ajaran-ajaran dan peristiwa-peristiwa sejarah sebelum ini.

Ini termasuklah kisah-kisah para nabi, mengenai kaum yang hilang seperti Kaum Ad dan Tsamud dan pelbagai lagi ajaran-ajaran pokok mengenai agama samawi dari rahib ini.

Malah yang lebih teruk lagi, ada yang menuduh Abu Talib sengaja membawa anak saudaranya itu bertemu dengan Buhaira kerana dikatakan beliau telah mendengarkan ramalan yang dibuat oleh rahib ini kepada orang ramai.

Beliau tidak ada tujuan untuk berniaga ke Syam kecuali hanya untuk membawakan Nabi Muhammad itu untuk bertemu Buhaira.

Tidak kurang juga ada yang menulis Abu Talib tetap meneruskan perjalanan ke Syam tetapi beliau meninggalkan Nabi Muhammad untuk belajar dengan Buhaira, bukannya pulang semula ke Mekah sebagaimana yang dinasihatkan oleh Buhaira.

Menangkis

Bagi menangkis dakwaan-dakwaan ini, Jaafar Subhani dalam bukunya Ar Risalah Sejarah Kehidupan Rasulullah SAW (1984) menulis bahawa pertemuan Nabi dengan pendeta Nasrani itu merupakan perkara sederhana sahaja.

“Namun para orientalis menjadikan peristiwa ini sebagai dalil untuk membuktikan bahawa Nabi Muhammad belajar dari Buhaira, seorang Nasrani mengenai ajaran-ajaran luhur yang diperkenalkan 23 tahun kemudian (kedatangan Islam sehingga Rasulullah wafat).

“Bererti Islam itu bermula dari sumbangan seorang yang beragama Kristian,” katanya.

Perkara ini ternyata tidak benar berdasarkan fakta bahawa:

1) Para sejarawan sepakat berkata bahawa Nabi Muhammad seorang yang buta huruf dan tidak belajar membaca dan menulis.

Semasa peristiwa ini berlaku, Nabi Muhammad dikatakan berusia 12 tahun dan tidak mungkin bagi seseorang yang semuda itu dapat mengetahui mengenai kitab Taurat dan Injil dan kemudiannya pada usia 40 tahun, berdasarkan belajar dengan Buhaira itu, Nabi Muhammad memperkenalkan agama baru.

2) Masa perjalanan untuk berdagang itu lazimnya singkat dan ini tidak memungkinkan kepada Nabi Muhammad memperoleh pelbagai pengetahuan mengenai kitab-kitab lama dalam masa yang singkat.

Menurut Jaafar, lazimnya perjalanan dagangan dari Mekah ke Syam mengambil masa selama empat bulan, termasuk masa berhenti untuk berehat di mana-mana destinasi.

“Maka mustahil dalam tempoh sesingkat itu, seseorang boleh menerima pelbagai ilmu apa tah lagi melibatkan seorang budak yang begitu tidak mengenal huruf,” katanya.

3) Jika benar Nabi Muhammad dikatakan dihantar untuk belajar dengan Buhaira, tentunya perkara ini tersebar di kalangan penduduk Mekah menyebabkan semua orang akan membicarakannya.

Namun, keadaan seperti ini tidak terjadi dan tercatat di mana-mana pengkisahan. Walaupun perkara Nabi Muhammad belajar dengan Buhaira ini tidak disebut dalam al-Quran, namun kata Jaafar, jelaslah bahawa peristiwa ini dimanipulasi oleh para orientalis di zaman moden ini.

posted under Religion | No Comments »

Remaja bergaduh direman

April27

KUALA LUMPUR 27 April - Seorang penyokong pasukan bola sepak Kelantan yang mencetuskan pergaduhan selepas tamat perlawanan akhir Piala FA di Stadium Bukit Jalil di sini Sabtu lalu, telah direman selama dua hari.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd. Hashim berkata, remaja itu direman untuk membantu siasatan kes tersebut.

“Bagaimanapun, keadaan sepanjang perlawanan itu terkawal dan tiada pergaduhan tidak diingini berlaku,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, seorang remaja berusia 17 tahun ditahan kerana dipercayai cuba mencetuskan pergaduhan selepas tamat perlawanan akhir Piala FA.

Pergaduhan itu dikatakan berpunca daripada perang mulut yang berlaku antara kedua-dua penyokong pasukan bola sepak berkenaan.

Setiap kumpulan penyokong saling tolak-menolak dan berkumpul untuk melahirkan rasa tidak puas hati sebaik sahaja perlawanan itu selesai tetapi berjaya dileraikan pihak polis.

Penyokong Kelantan didenda RM20

April27

KUALA LUMPUR 27 April - Sudahlah pasukannya tewas, seorang penyokong Kelantan terpaksa pula membayar denda RM20 kerana mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada penyokong pasukan Selangor selepas menyaksikan perlawanan akhir Piala FA, Sabtu lalu.

Denda tersebut dijatuhkan oleh Majistret Nazran Mohd. Sham hari ini selepas Ahmad Hamiduddin Ab. Wahid, 24, yang bekerja sebagai penyelia tapak mengaku salah atas tuduhan tersebut.

Ahmad Hamiduddin yang masih memakai jersi merah Kelantan mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan perkataan kurang sopan ke atas penyokong Selangor kira-kira pukul 12.15 pagi, 26 April lalu di Parking A, Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syaiful Nazrin Mohd Rahim mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100 jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, selepas tamat perlawanan Piala FA, sepasukan anggota polis dikerah untuk pergi ke tempat kejadian selepas menerima laporan terdapat pergaduhan antara penyokong Kelantan dan Selangor.

Mereka yang terlibat dalam pergaduhan tersebut telah diminta bersurai dan dipatuhi kecuali tertuduh yang masih terus mengeluarkan kata-kata kurang sopan yang boleh membangkitkan kemarahan penyokong Selangor.

Pada perlawanan tersebut, pasukan Selangor menumpaskan Kelantan selepas menang 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti ekoran terikat kedudukan 1-1 selepas masa tambahan.

Pengasas Sebenar Malayan Union

April27

By eboss

6 Kenal siapa lelaki ni? Beliau adalah Tun Tan Cheng Lock. Ramai orang mengenalinya antara pengasas dan mantan Presiden MCA. Namun tidak ramai yang tahu bahawa beliaulah sebenarnya antara perancang utama yang bersubahat dengan British untuk menubuhan Malayan Union pada 1941. Tujuannya adalah untuk…MEMASTIKAN KAUM CINA MENDAPAT HAK SAMA RATA DENGAN PRIBUMI SERTA DIIKTIRAF SEBAGAI RAKYAT TANAH MELAYU. Tetapi beliau terpaksa memendam hasratnya pada masa itu kerana pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Hajat beliau kembali terlaksana apabila Jepun menyerah kalah dan British bersetuju dengan saranannya itu.

Apabila Che Det menulis berkenaan sejarah, Ti Lian Ker telah mengulasnya serta menempelak negarawan itu sebagai ‘pengarah’ (piloted and captained) kepada ketegangan kaum di Malaysia. Banyak lagi perkara yang telah disentuh oleh Ti Lian Ker dan kami hormati pendapatnya itu. Namun kami juga tidak boleh dihalang untuk mengingatkan orang Melayu berkenaan sejarah kaum bukan Melayu di negara ini. Ini kerana kami SANGAT MEMAHAMI akan sikap suka ambil mudah serta tidak kisah orang Melayu dan mereka harus selalu diperingatkan agar lebih berhati-hati dalam menempuh cabaran masa hadapan.

Orang Melayu perlu diperingatkan bahawa kaum lain yang tinggal bersama mereka hari ini adalah kaum survivor yang berpengalaman luas dalam perjuangan kelangsungan hidup selama beribu-ribu tahun di negara asal mereka.

Orang Melayu perlu diperingatkan bahawa kaum lain di Malaysia sudah terdedah dengan persaingan sesama mereka selama beribu-ribu tahun, sedangkan pribumi Tanah Melayu sentiasa hidup selesa dan aman sejak zaman paleolitik lagi.

Orang Melayu perlu diperingatkan agar lebih berhati-hati dengan kaum yang cuba merampas hak mereka melalui cadangan penubuhan Malayan Union.

Orang Melayu perlu diperingatkan akan kaum yang telah menaikkan bendera negara asal di rumah serta kedai milik mereka ketika menyambut hari kebesaran negara kelahiran mereka sebelum kemerdekaan Tanah Melayu.

Orang Melayu perlu diperingatkan akan kaum yang belot di Melaka yang mempunyai kekuatan armada 170 ribu orang TETAPI tumpas kepada Portugis yang hanya memiliki ketumbukan tentera seramai 1400 orang sahaja.

Orang Melayu harus diperingatkan agar tidak lagi mengalah atau tunduk kepada tekanan daripada sesiapa sahaja terutama berkaitan percubaan menggangu gugat hak pribumi.

Liverpool Anthem - You’ll Never Walk Alone

April10

hs74aimininet

Komen: Perusuh Bola Sepak Kelantan

April10

1. Satu bendo jah hok kawe suko pasal kesan daripada perusuh nih. Kawe boleh tengok semua game Kelate. Untuk orang2 hok dok lembah klang nih, best laaa…

2. Kawe setuju perusuh ni sajo nok tunjuk gedebe.

3. Pemain pun keno tunjuk peranga baik jugok. Jange la dok wak contoh hok tok molek pada penyokong. Halim Napi tuh, dari zaman dulu lagih dio peranga mace tuh. Main professional ko, main Banggol ko, samo jah peranga, tok beruboh-uboh.

4. Banner tu molek la, untuk bagi peringatan pada penyokong.

5. Baso penyokong Kelate nih (x semua), kalu hok dok kat scoreboard tuh, peranga mace gapo. Kawe bowok mok kawe gi tengok bola dok kat scoreboard, buleh ko pakat2 dok sorak…kalu bowok tino, keno pekong denga bekas air. Mentaliti tahap kampung sungguh. Lepas hari tu, kalu kawe gi tengok bola, kawe dok kat astaka, tiket mahal skit tapi dok denga ore hok cerdik2.

6. Lepas ni, kalu kelate jatuh main liga fam pun, jange maroh deh…kito nih x bersyukur langsung dengan usaha KAFA wak untuk kito. KAFA nok wak kito happy. KAFA nok kito banggo denga pasukan kito. Tapi kito sendiri hok buat rosok harapan kito sendiri.

Komen: Perusuh Bola Sepak Kelantan

April10

1. Satu bendo jah hok kawe suko pasal kesan daripada perusuh nih. Kawe boleh tengok semua game Kelate. Untuk orang2 hok dok lembah klang nih, best laaa…

2. Kawe setuju perusuh ni sajo nok tunjuk gedebe.

3. Pemain pun keno tunjuk peranga baik jugok. Jange la dok wak contoh hok tok molek pada penyokong. Halim Napi tuh, dari zaman dulu lagih dio peranga mace tuh. Main professional ko, main Banggol ko, samo jah peranga, tok beruboh-uboh.

4. Banner tu molek la, untuk bagi peringatan pada penyokong.

5. Baso penyokong Kelate nih (x semua), kalu hok dok kat scoreboard tuh, peranga mace gapo. Kawe bowok mok kawe gi tengok bola dok kat scoreboard, buleh ko pakat2 dok sorak…kalu bowok tino, keno pekong denga bekas air. Mentaliti tahap kampung sungguh. Lepas hari tu, kalu kawe gi tengok bola, kawe dok kat astaka, tiket mahal skit tapi dok denga ore hok cerdik2.

6. Lepas ni, kalu kelate jatuh main liga fam pun, jange maroh deh…kito nih x bersyukur langsung dengan usaha KAFA wak untuk kito. KAFA nok wak kito happy. KAFA nok kito banggo denga pasukan kito. Tapi kito sendiri hok buat rosok harapan kito sendiri.

Jangan buat sebarang provokasi

April9

Oleh WAN FAKHRUL WAN BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my

“SAYA seru kepada semua penyokong Selangor, jangan mulakan sebarang provokasi terhadap penyokong Kelantan.”

Demikian nasihat Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd. Amin menjelang pertemuan ‘panas’ Liga Super antara Selangor dan Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Hamidin yakin insiden rusuhan penyokong Kelantan di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, Selasa lalu tidak akan berulang pada perlawanan esok sekiranya para penonton yang hadir ke stadium menjaga tingkah laku mereka.

“Kepada seluruh penyokong Selangor yang saya tahu cukup tinggi disiplin dan tahap pemikiran mereka, saya seru supaya mereka jangan buat sebarang kekacauan.

“Jika semua berlangsung dalam keadaan tenang, saya yakin tidak akan berlaku kekacauan atau rusuhan penonton pada perlawanan itu nanti,” katanya semalam.

Jelas Hamidin, meskipun perlawanan akan berlangsung di Bukit Jalil, Kelantan tetap bertindak sebagai tuan rumah manakala Selangor sebagai pasukan pelawat.

“Pihak Kafa (Persatuan Bola Sepak Kelantan) telah menghubungi kami untuk meminta bantuan dari segi penjualan tiket kerana kesukaran kakitangan Kafa datang dari Kota Bharu.

“Jadi FAS bersedia untuk menghulurkan apa jua bantuan yang diminta Kafa untuk perlawa- nan ini,” ujar Hamidin.

Sementara itu, skuad Selangor kembali berlatih di Padang SUK, Shah Alam petang semalam dengan hanya ketua pasukan, Amri Yahyah tidak dapat diturunkan malam esok akibat kad merah yang diterimanya Selasa lalu.

Tugas ketua pasukan bakal digalas bek kiri, P. Gunalan atau seorang lagi pemain senior dalam skuad Selangor iaitu D. Surendran.

Tiga ditahan polis kerana merusuh

April8

KOTA BHARU 8 April - Tiga termasuk seorang guru ditahan manakala berpuluh-puluh lagi suspek yang disyaki terbabit merusuh di luar Stadium Sultan Muhammed IV dekat sini, malam tadi diburu polis.

Selain guru terbabit, dua lagi yang ditahan ialah masing-masing seorang penuntut Politeknik Kota Bharu dan pelajar sebuah sekolah menengah ketika bertindak agresif termasuk membaling mercun dan batu-bata di luar stadium.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya telah melihat rakaman semula video ketika kejadian dan telah mengenal pasti individu terlibat serta akan membuat tangkapan bagi membantu siasatan.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, tiga orang termasuk dua anggota polis berpangkat lans koperal dan konstabel cedera kerana terkena ketulan batu-bata yang dibaling.

Beliau berkata, kedua-dua anggota yang cedera di bahu kiri dan badan itu turut dipijak dan ditumbuk serta terpaksa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan.

Katanya, selain anggota polis, seorang remaja berusia 18 tahun juga cedera selepas terkena gas pemedih mata yang dilepaskan oleh pihak polis bagi menyuraikan orang ramai.

Dalam kejadian itu, beliau mengesahkan sebanyak 10 kenderaan termasuk dua buah milik polis serta kereta Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengalami kerosakan.

“Sebuah daripada kenderaan polis itu turut dibakar oleh penyokong. Untuk meredakan keadaan, kita telah melepaskan 20 das gas pemedih mata dan selepas sejam kemudian keadaan kembali tenang,” katanya.

Kejadian berlaku sejurus selesai perlawanan separuh akhir pertama Piala FA dengan Negeri Sembilan menewaskan Kelantan 1-0 apabila hampir kesemua penonton keluar meninggalkan stadium, namun ribuan daripada mereka masih berkumpul di kawasan perkarangan.

Abdul Rahim memberitahu, ketika kejadian, pihaknya meletakkan seramai 300 anggota termasuk pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keselamatan.

Beliau berkata, bibit-bibit emosi yang tidak terkawal itu dipercayai bermula apabila penjaga gol Kelantan, Mohd. Halim Napi menyerang salah seorang pemain pasukan Negeri Sembilan selepas perlawanan selesai.

Katanya, ekoran daripada itu, pihak polis telah membawa Halim ke sebuah bilik rehat untuk menenangkan keadaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Tambahnya, bagaimanapun tindakan tersebut menyebabkan para penyokong pasukan itu berasa tidak puas hati lalu bertindak agresif di luar stadium.

“Ketika kejadian, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah, yang bertindak sebagai Pegawai Pemerintah Medan pada malam itu, bertindak menasihat dan memujuk penyokong supaya bersurai tetapi gagal.

“Kami kemudian telah mengarahkan anggota polis supaya melepaskan 20 das gas pemedih mata dan barulah ketika itu penyokong mula bersurai,” ujarnya lagi.

Katanya, selepas keadaan kembali tenang, pihak polis berjaya mengiringi semua pemain pasukan bola sepak Negeri Sembilan dan Anuar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan sebelum dibawa ke hotel berdekatan.

Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk mengambil keterangan daripada Halim untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, sehingga hari ini, pihak polis sudah menerima sebanyak 13 laporan yang dibuat oleh orang awam berhubung kejadian tersebut.

Katanya, mereka yang berbuat demikian ialah para pemilik kenderaan yang dirosakkan selain beberapa peniaga ekoran buah-buahan jualan turut digunakan untuk melontar ke arah polis.

Pada 31 Mac lalu, tiga lelaki ditahan kerana disyaki melakukan rusuhan terhadap anggota polis sebaik selesai perlawanan Liga Super, apabila pasukan Negeri Sembilan menundukkan pasukan Kelantan 2-1.

Berikutan dua kejadian merusuh berlaku ketika perlawanan bola sepak di sini, pihaknya akan berbincang dengan KAFA bagi mencadangkan perlawanan seterusnya diadakan di tempat lain memandang keselamatan tidak begitu terjamin.

« Older Entries